Siaran Media
SIARAN MEDIA
SEMPENA MAJLIS PENUTUP MINGGU KKP 2024
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada hari ini telah menganjurkan Seminar Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 sempena Majlis Penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2024. Seminar ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ir. Haji Mohd Hatta bin Zakaria, Ketua Pengarah JKKP Malaysia.
Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau dikenali sebagai OSH Week adalah satu acara tahunan yang disambut pada setiap tahun susulan arahan Kabinet pada 24 Mei 2006.
Tema OSH Week pada tahun ini ialah Revolusi Lanskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022.
Bertepatan dengan tema pada tahun ini, program dan aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan adalah ke arah hebahan dan promosi ke atas Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022, serta perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya.
Seminar yang diadakan pada hari ini memberi fokus kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2024. Peraturan ini digubal bertujuan untuk memastikan projek pembinaan dijalankan dengan selamat dan sihat melalui penetapan kewajipan kepada pihak berkepentingan seperti klien, pereka bentuk dan pembina.
Sektor pembinaan mencatatkan:
- Peningkatan jumlah kecederaan pekerjaan sebanyak 21% pada tahun 2023 berbanding tahun 2022. Pada tahun 2022, sektor pembinaan mencatatkan kes sebanyak 160 kes, manakala pada tahun 2023 adalah sebanyak 194 kes; dan
- Jumlah kecederaan maut juga mengalami peningkatan sebanyak 6%, iaitu daripada 63 kes pada tahun 2022 kepada 67 kes pada tahun 2023.
Ini menjadikan sektor pembinaan sebagai sektor tertinggi yang menyumbang kepada kecederaan maut pada tahun 2023 dan sektor keempat tertinggi untuk kecederaan pekerjaan pada tahun yang sama.
Sehubungan itu, adalah diharapkan melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, pihak yang diberi kewajipan akan bekerjasama untuk mengurus projek dengan selamat sepanjang tempoh pembinaan, penyelenggaraan dan perobohan serta dapat membantu mengurangkan kes kecederaan maut dan kecederaan pekerjaan yang kini berada pada fasa yang perlu diberi perhatian yang serius.
###
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Ketua Pengarah
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia
5 Ogos 2024
OPERASI SPARK
(SEBARAN PERUNDANGAN AKKP REVOLUSI KKP NEGARA)
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengadakan Operasi SPARK (Sebaran Perundangan AKKP Revolusi KKP Negara) pada hari ini. Operasi ini diketuai oleh YBrs. Ir. Haji Mohd Hatta bin Zakaria, Ketua Pengarah JKKP Malaysia.
Kerajaan amat komited untuk memastikan semua pekerja di negara ini dapat bekerja di persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan produktif. Komitmen ini dizahirkan melalui pewartaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 pada 16 Mac 2022.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 telah berkuat kuasa pada 1 Jun 2024. Inisiatif bagi hebahan Akta Pindaan ini telah aktif dijalankan melalui program Hebahan Perundangan Baharu KKP Negara, di enam (6) zon seluruh negara, bermula pada 20 Mei 2024 di Pulau Pinang (Zon Utara) dan berakhir pada 29 Mei 2024 di Selangor (Zon Tengah). Sejumlah 1,103 orang peserta hadir secara fizikal di 6 zon dan 6,281 orang peserta hadir secara dalam talian semasa sesi penutup program tersebut.
Operasi SPARK telah berlangsung selama sepuluh (10) hari bermula pada 12 Jun 2024 sehingga 27 Jun 2024 serentak di seluruh negara. Operasi SPARK yang melibatkan 1,241 tempat kerja ini telah dijalankan oleh pegawai JKKP melalui aktiviti penguatkuasaan di pelbagai sektor industri (sebanyak 40%), pemeriksaan jentera berperakuan (sebanyak 40%) serta penguatkuasaan tapak binaan (sebanyak 15%).
Tujuan Operasi SPARK ini dijalankan adalah untuk menghebahkan kuat kuasa Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, dan pemansuhan Akta Kilang dan Jentera 1967. Operasi ini juga bertujuan mengetahui keberkesanan strategi hebahan JKKP berkaitan perundangan baharu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara. Hasil daripada operasi ini, 70% tempat kerja memberi respon positif dan memaklumkan mereka mengetahui tentang pindaan Akta KKP yang terkini.
Dari segi kaedah hebahan sebanyak 43% responden dari tempat kerja menyatakan bahawa penganjuran program jerayawara dan seminar telah berjaya memberikan maklumat berkenaan pindaan Akta KKP terkini. Manakala 20% industri bersetuju platform media sosial seperti Facebook JKKP dan TikTok JKKP memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan 37% industri mengetahui berkenaan pindaan perundangan ini melalui MyKKP.
Antara perubahan ketara di dalam Akta Pindaan ini adalah memperkenalkan peruntukan baharu berkaitan tanggungjawab menjalankan pentaksiran risiko, pelantikan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan (OSH Coordinator) dan peningkatan penalti (deterrent effect) yang berjumlah sepuluh (10) kali ganda daripada yang sedia ada, iaitu maksimum penalt dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM500,000.
Dengan peningkatan maksimum penalti ini, secara tidak langsung isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja akan diberi perhatian dengan menjadikan tempat kerja bebas daripada kemalangan dan penyakit pekerjaan.
JKKP sentiasa menekankan pentingnya penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta perlunya penyesuaian terhadap cabaran baharu dalam KKP bagi memastikan tempat kerja sentiasa selamat, sihat, kondusif dan sejahtera.
###
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Ketua Pengarah
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia
5 Julai 2024
PROJECT DELIVERY & TECHNOLOGY (PD&T) AND PARTNERS HEALTH, SAFETY & ENVIRONMENT (HSE) CONFERENCE 2024
Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan kerjasama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) pada hari ini telah menganjurkan Project Delivery & Technology (PD&T) and Partners Health, Safety & Environment (HSE) Conference 2024. Persidangan ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ir. Haji Mohd Hatta bin Zakaria, Ketua Pengarah JKKP Malaysia.
Penganjuran persidangan ini juga merupakan soft launch sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2024 peringkat kebangsaan. Sambutan OSH Week merupakan acara tahunan yang disambut pada minggu ke-2 bulan Julai setiap tahun bermula pada tahun 2006, susulan daripada kelulusan dan arahan Kabinet Malaysia pada 24 Mei 2006.
Tema OSH Week pada tahun ini ialah “Revolusi Lanskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022”. Tempoh pelaksanaan sambutan OSH Week bermula seawal bulan Jun, bersempena dengan tarikh penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 sehingga 31 Julai 2024.
Penganjuran persidangan ini merupakan usaha berterusan PETRONAS yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja berkonsepkan tripartisme.
Persidangan ini juga menjadi penanda aras komitmen bersepadu terhadap kecemerlangan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar. Ia juga menzahirkan komitmen PETRONAS selaras dengan tema persidangan ini ke arah Mission Zero Possible: Commitment and Accountability.
PETRONAS memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kecekapan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) yang berkelayakan di Malaysia. Melalui pelbagai inisiatif, PETRONAS telah menyumbang secara signifikan kepada latihan dan pembangunan SHO, memastikan mereka dilengkapi dengan pengetahuan untuk menangani cabaran dinamik keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 atau OSHMP25 dibangunkan bertujuan untuk memperkukuhkan lagi pembentukan “Budaya Kerja Selamat dan Sihat” di kalangan majikan dan pekerja dan program pada hari ini merupakan salah satu Program di bawah Teras Strategik 6 iaitu Pemantapan KKP Melalui Teknologi.
Penganjuran persidangan ini adalah penting dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan cekap melalui integrasi teknologi, juga menepati landskap KKP negara yang akan berevolusi selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa pada 1 Jun 2024.
Pindaan ini akan mendorong peningkatan dalam standard keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan seterusnya memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia.
###
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Ketua Pengarah
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia
24 Jun 2024












